PETALING JAYA – Seorang penunggang motosikal maut setelah hilang kawalan sebelum terbabas di Jalan Lapangan Terbang Subang menghala ke Lebuh raya Persekutuan awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya telah menerima satu laporan polis kira-kira pukul 6.47 pagi tadi.
“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal jenis Modenas Kriss tersebut merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berusia 52 tahun.
“Mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, mayat telah di bawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat dan kes masih dijalankan untuk mengenal pasti punca dan sebab kematian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Mohamad Fakhrudin turut menyeru saksi kejadian untuk tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Khairil Helmi Mohamad Isa di talian 019-3318339 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE.