fbpx

‘Gosip cinta dengan Zizan, itu cuma usikan nakal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR dimuat naik Zizan Razak dalam Instagramnya cuma untuk mempromosikan drama lakonannya bersama Hawa.

PETALING JAYA – Pelakon dan pengacara Hawa Rizwana menganggap gosip cinta yang tercetus antara dia dengan aktor Zizan Razak sebagai usikan nakal terhadapnya.

Meskipun begitu, Hawa, 27, mengakui terkejut apabila ramai mendakwa dia bercinta dengan pelakon filem Hantu Bonceng itu susulan tular foto mereka bersama baru-baru ini.

Tidak melenting, pemilik nama penuh Hawa Rizwana Ahmad Redzuan itu bagaimanapun memandang gosip tersebut sebagai lumrah yang harus dilalui sebagai anak seni.

“Terkejut juga apabila muncul gosip tersebut sebab memang sudah beberapa kali bekerja dengan Zizan sebagai gandingan pengacara MeleTOP dan kini dalam drama pula.

“Saya anggap semua gosip tersebut sebagai lumrah terutama apabila muncul foto berdua, orang memang akan mengusik,” katanya ringkas kepada Kosmo! Online.

Berkongsi lanjut, pengacara MeleTOP berkenaan menjelaskan foto tersebut merupakan salah satu babak drama lakonannya bersama Zizan yang akan ditayangkan pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Gambar itu sebenarnya antara babak yang ada dalam drama Raya Sebagai Isteri.

“Saya dan Zizan merupakan watak utama untuk drama tersebut. Paling teruja, drama tersebut merupakan lakonan pertama saya,” katanya lagi.

Terdahulu, bekas hos program Wanita Hari Ini itu menjadi sebutan ramai dan dikatakan sedang menjalin hubungan cinta selepas Zizan, 39, memuat naik foto mereka bersama dalam Instagram.

Zizan bagaimanapun menafikan dakwaan ramai bahawa mereka sedang bercinta dan foto tersebut merupakan salah satu adegan lakonan untuk sebuah drama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI