fbpx

Dua per tiga kes kanser serviks dikesan lewat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saringan kanser serviks kini mudah dilakukan dan pihak penganjur kempen bersedia memberikan tunjuk ajar kepada orang ramai.

KANSER serviks atau kanser pangkal rahim ialah kanser ketiga paling kerap dihadapi wanita Malaysia, dengan peratusan kes yang dikesan lewat didapati bertambah setiap tahun.

Sempena Bulan Kesedaran Kanser Serviks pada bulan Januari lalu, Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Selangor bekerjasama dengan Yayasan Removing Obstacles to Cervical Screening (Rose) untuk memberi tumpuan kepada kanser serviks menerusi kempen pengesanan awal di negara ini.

Selain itu, mereka juga bekerjasama dengan sebuah platform komuniti tempatan, SJ ECHO untuk membantu menyebarkan maklumat dalam kalangan masyarakat dan menganjurkan program saringan kanser serviks kendiri (DIY) secara percuma.

Menerusi program Jika Bukan Sekarang, Bila Lagi? #Hapuskankanserserviks, 300 kit swab pensampelan kendiri PCR Papilomavirus Manusia (HPV) diedarkan kepada kaum wanita di Subang Jaya, Selangor.

Lima pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang terletak di PJS7, Angsana USJ1, Sri Tanjung USJ16, SS13, dan SS19/7 terbabit dalam program bantuan ini dengan kerjasama SJ ECHO.

Ketua Pegawai Eksekutif SJMC, Bryan Lin berkata, kanser serviks sering dikenali sebagai ‘pembunuh senyap’ memandangkan penyakit ini berkembang secara perlahan-lahan tanpa amaran atau gejala awal.

“Pelaksanaan program ini bertujuan membawa perubahan bermakna kepada masyarakat dengan menjadikan saringan kanser serviks sesuatu yang mudah dilakukan dan diterima secara lebih meluas oleh kaum wanita yang mungkin tidak begitu maklum tentang keseriusan penyakit ini.

Bryan (tiga dari kiri) bersama Yi Ling (dua dari kanan) ketika merasmikan program Jika Bukan Sekarang, Bila Lagi?#Hapuskankanserserviks.

“Sebagai penyedia penjagaan kesihatan, kami perlu memainkan peranan untuk membebaskan rakyat Malaysia daripada kanser serviks dengan memberi peluang kepada mereka menjalani saringan,” katanya.

Dalam pada itu, SJMC telah membuka kemudahan saringan bergerak di atas trak untuk memudahkan orang ramai.

Wanita Malaysia berumur lebih 30 tahun yang memenuhi kriteria kelayakan akan diajar cara untuk melakukan ujian kendiri.

Menggunakan satu swab (calitan) mudah, sampel akan dihantar ke Makmal Rose untuk ujian PCR HPV dengan keputusan dimaklumkan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dalam masa tiga minggu.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), rawatan awal amatlah penting tetapi penyertaan dalam program saringan dan pencegahan masih rendah di Malaysia.

Sementara itu, Pengasas dan Pemegang Amanah Yayasan Rose, Prof Dr. Woo Yin Ling berkata, ramai wanita tidak menjalani saringan kanser serviks secara berkala dengan dua per tiga daripada kes dikesan pada peringkat lewat.

 

“Berbeza daripada ujian Pap Smear yang invasif dan menyakitkan, wanita Malaysia kini boleh diuji menggunakan strategi saringan serviks kami yang inovatif dan tersendiri yang dinamakan Program Rose iaitu Removing Obstacles to Cervical ScrEening yang bermaksud Meniadakan Halangan Kepada Saringan Serviks dengan membekalkan alat untuk melakukan swab kendiri yang mudah sebagai satu cara yang pantas, ringkas dan berkesan.”

“Kemudahan bergerak SJMC pula dapat melakukan saringan kanser serviks atas dasar ‘kami mengunjungi anda’,” katanya.

Tambahnya, Rose mengalu-alukan peluang bekerjasama dengan SJMC serta SJ ECHO untuk memastikan wanita boleh memanfaatkan kemudahan ini.

Program Rose telah ditubuhkan khusus untuk wanita Malaysia dan menggunakan pendekatan saringan kanser serviks yang serba maju.

Kaedah ini menggabungkan pensampelan kendiri, ujian HPV primer dan platform kesihatan digital menggunakan teknologi mudah alih untuk kemudahan wanita.

Setakat ini, ROSE Foundation telah berjaya menyaring lebih daripada 21,000 wanita di seluruh Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI