fbpx

Daniel Fong idamkan watak antagonis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DANIEL FONG

NAMA Daniel Fong mungkin masih lagi asing bagi peminat drama Melayu, hakikatnya jejaka tampan itu sudah banyak membintangi drama bersiri Melayu dan Cina tempatan bahkan pernah beberapa kali memegang watak utama.

Daniel atau nama sebenarnya, Daniel Fong Weng Chuan mula serius berjinak-jinak dalam industri lakonan Melayu sejak dua tahun lalu lalu (2020) apabila membintangi drama bersiri Derhaka Cinta Jebat untuk siaran RTM.

Lakonan sulung dalam naskhah berkenaan tersebut menjadi titik tolak permulaan rancak karier lakonan Daniel apabila tidak putus-putus menerima tawaran berlakon daripada rumah produksi dan variasi stesen televisyen tanah air.

“Saya betul-betul masuk pasaran drama Melayu pada tahun 2020 apabila dipanggil berlakon dalam sebuah drama RTM. Dari situ, saya mula mendapat banyak tawaran berlakon daripada stesen televisyen seperti RTM, Awesome TV, SukeTV dan Astro,” katanya.

Bertanya mengenai cabaran ketika berlakon menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya, pelakon kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, dia mengalami kesukaran untuk bercakap dalam bahasa Melayu secara berterusan namun dia giat berusaha meningkatkan sebutan bahasa Melayunya.

“Saya agak ‘struggle’ untuk berbual dalam bahasa Melayu sepenuhnya tetapi kalau ada skrip, lain cerita. Saya lega mengetahui orang ramai menerima tetapi jika ada yang tidak boleh terima, semua itu memberikan motivasi kepada saya.

“Kalau nak dibandingkan dengan waktu pertama kali berlakon, saya rasa sekarang saya sudah banyak peningkatan. Saya banyak menonton drama Melayu untuk belajar dan pada masa yang sama sudah ramai kawan Melayu untuk dirujuk dan minta tunjuk ajar,” ujarnya.

DANIEL memasuki gelanggang sinema drama Melayu sejak dua tahun lalu menerusi naskhah Derhaka Cinta Jebat siaran RTM. – AFIQ RAZALI

Mencabar diri

Meskipun sentiasa ditawarkan watak dan naskah yang bergenre cinta, romantis dan kasih sayang, pelakon berusia 30 tahun itu mengakui bahawa menyimpan hasrat untuk menjayakan karakter berbeza dan mencabar kebolehannya seperti watak antagonis.

“Saya okey sahaja untuk berlakon drama atau filem berunsur romantik dan cinta, tapi saya memang nak cuba watak-watak yang mencabar diri macam watak psiko ataupun watak yang lebih kepada seni mempertahankan diri.

“Apa yang pasti, saya teringin watak yang belum pernah dicuba sebelum ini,” luahnya.

Dalam pada itu, penerimaan dan pencapaian akon berbangsa Cina seperti Alvin Chong dan Sean Lee yang berjaya menembusi pasaran Melayu juga menjadi inspirasi buat

Daniel untuk terus berusaha keras memahat nama dalam industri.

“Saya sudah banyak kali dibandingkan dengan Alvin Chong dan Sean Lee. Saya melihat hal itu dari sudut yang positif dan meletakkan mereka sebagai idola untuk saya terus berusaha dan berjaya seperti mereka,” jelasnya.

Menariknya, selain bergiat aktif sebagai pelakon, Daniel juga meminati bidang nyanyian dan mempunyai single berbahasa Inggeris berjudul Sing Me Home selain pernah merakam beberapa buah lagu nyanyian semula (cover) seperti Belaian Jiwa dan Permata Hati.

“Saya mula menyanyi sebab mahu menarik perhatian orang yang saya sayang, saya rasa semua orang pun akan buat macam itu.

“Saya sangat suka menyanyi, saya rasa menyanyi merupakan satu cara untuk saya ekspresikan diri dalam satu masa yang singkat, semuanya terluahkan dalam sebuah lagu,” ujarnya.

Menceritakan lanjut tentang perjalanan seninya, Daniel berharap 2023 akan menemukan impiannya untuk bergelar pelakon filem, sekali gus melebarkan lagi bakat lakonannya dengan lebih meluas sehingga dikenali ramai, terutamanya penonton berbangsa Melayu.

“Kalau tahun lepas cita-cita saya untuk menjadi hero dalam drama sudah tercapai, saya berharap tahun ini impian untuk saya berlakon filem pula.

Saya mahu dikenali oleh lebih ramai orang lagi khususnya orang Melayu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI