fbpx

Bulu kucing lekat pada pakaian, sejadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BULU daripada haiwan yang masih hidup secara asasnya adalah haram, cuma dalam hal kucing jika sehelai dua ia dikategorikan sebagai najis yang dimaafkan.

Assalamualaikum, saya ingin bertanya jika bulu kucing ada lekat di pakaian atau pada sejadah, adakah sah solat? Terima kasih.

Jawapan:
Kucing merupakan haiwan yang suci dan selalu berkeliaran di sekeliling manusia.

Perkara ini dirakamkan dalam satu hadis daripada Kabsyah Binti Ka’ab bin Malik: Bahawa Abu Qatadah masuk menemuinya (Kabsyah) dan dia menuangkan air (di dalam bekas) untuknya berwuduk, tiba-tiba datang seekor kucing lalu meminum daripada air tersebut. Abu Qatadah mengiringkan bekas tersebut hingga kucing itu dapat meminum daripada bekas tersebut. Kabsyah berkata: Abu Qatadah tahu bahawa aku sedang memerhatikannya, maka dia pun berkata, “Apakah engkau terkejut wahai puteri saudaraku?” Aku menjawab: “Ya”, Abu Qatadah berkata: “Sesungguhnya Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia merupakan haiwan yang biasa berkeliaran di sekelilingmu.”

Maka, berdasarkan hadis di atas kita dapat mengetahui bahawa terdapat kelonggaran yang diberikan kepada kucing kerana ia haiwan yang berkeliaran di tempat tinggal manusia.
Imam As-Son’ani dalam kitabnya Subulus Salam telah menyebut: “Allah SWT telah memberi keringanan kepada hambaNya (hukum berkaitan dengan kucing) dengan menjadikannya tidak najis bagi mengangkat kesusahan (atas diri kamu)… dan hadis ini adalah merupakan dalil bahawa kucing itu suci, termasuk juga bekas minumannya (air yang telah diminum).” (Subulus Salam, jilid 1, hlm. 33)
Ibnu Qudamah juga ada menyatakan: “Setiap haiwan hukum kulitnya, bulunya, peluhnya, air matanya atau air liurnya mengikut hukum bekas minumannya (air yang telah diminum).” (Al-Mughni jld.1, hlm. 78)

Bagaimanapun, menurut Mazhab Syafie, bulu kucing yang tercabut semasa ia masih hidup adalah najis kerana kucing termasuk haiwan yang tidak boleh dimakan seperti yang difahami daripada huraian dalam kitab Al-Majmu’ oleh Imam Al-Nawawi: “Jika terpisah rambut, bulu, rerambut halus (daripada haiwan) atau pelepah (burung) daripada haiwan yang tidak boleh dimakan dagingnya sama ada ia gugur dengan sendiri atau dicabut – maka telah sepakat golongan kami (Syafieyyah) hukumnya seperti hukum bulu bangkai; kerana apa yang terpisah daripada yang hidup maka hukumnya seperti bangkai.” (Al-Majmu’, jilid 1, hlm. 296)

Akan tetapi jika sekadar satu atau dua bulu yang terlekat pada baju, badan atau tempat solat maka ia dimaafkan dan solat yang dikerjakan adalah sah kerana kucing adalah haiwan peliharaan yang sukar dikawal. (Rujuk Al-Majmu’, jilid 1, hlm. 161; Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, bab najis yang dimaafkan, jilid 1,hlm. 175).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI