fbpx

Bekas eksekutif syarikat petroleum didakwa buat tuntutan palsu RM317,143

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH dibawa keluar dari mahkamah selepas didakwa membuat tuntutan palsu di Mahkamah Sesyen Kuantan di Kuantan hari ini

KUANTAN – Seorang bekas eksekutif syarikat petroleum di Gebeng Kuantan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 10 pertuduhan membuat tuntutan palsu tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Mohd Hafiz Manap, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Tertuduh didakwa memalsukan beberapa dokumen tuntutan yang tidak wujud butir pembekalan bermula Januari 2021 hingga September 2021 dan kesemua kesalahan itu dilakukan di Petronas Chemical MTBE Sdn Bhd Kuantan.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh sebagai pekerja kepada syarikat berkenaan didakwa telah dengan niat hendak memperdayakan majikannya, beberapa invois atas nama M&F Limitless Resources bagi membekalkan peralatan berkait pencegahan kebakaran tidak wujud dengan nilai keseluruhannya berjumlah RM317,143.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rifah Izzati Abdul Mutalif. Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Mac depan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan selain pasport diserah kepada mahkamah. – KOSMO! ONLINE.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI