SHAH ALAM – Seorang wanita tidak dapat melupakan keperitan hidupnya ketika bergelar asnaf sehinggakan terpaksa membahagi dua ikan selar bagi memastikan tiga anaknya tidak berlapar kerana hanya memperoleh pendapatan RM20 sehari.
Norsaadah Zainudin, 43, memberitahu, penderitaannya bermula apabila diceraikan pada usia 23 tahun dan serba serbi dalam hidupnya perlu dicatu.
Katanya, dia hanya mendapat RM20 sehari hasil membantu bapanya berniaga dan tidak mampu menyediakan keperluan mencukupi untuk menyara tiga anaknya berusia enam bulan hingga tujuh tahun ketika itu.
“Memang perit apabila hanya ada seekor ikan selar untuk dimakan hingga terpaksa belah dua untuk makan selama dua hari. Biar saya berlapar asalkan anak-anak kenyang.
“Selepas tujuh tahun jadi ibu tunggal, saya kemudian bernikah dengan seorang pengawal keselamatan dan dikurniakan dua anak. Dugaan berterusan apabila anak pertama dengan suami baharu kerap diserang asma dan sawan,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Subang dekat sini.
Menurut Norsaadah, ketika itu gaji suaminya hanya RM1,000 dan dia pula bekerja sebagai pembantu tukang masak di sebuah kelab golf di Shah Alam selain perlu meminta cuti setiap bulan bagi menjaga anaknya.
Tambahnya, dia kemudian memohon bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada 2012 dan berniaga nasi ayam di sekitar Subang Perdana.
“Saya kemudian menjadi usahawan di bawah Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. dan mengikuti kursus perniagaan dan pengurusan modal selepas berdepan dengan pelbagai cabaran,” katanya.
Ujar Norsaadah, dengan modal RM3,500 dan sebuah lori berniaga, dia berjaya keluar daripada status asnaf pada 2019 dengan pendapatan kasar RM5,000.
“Dahulu saya terima zakat, kini saya jadi pembayarnya sejak dua tahun lalu. Syukur mendapat nikmat ini dan saya harap rakan-rakan asnaf lain dapat keluar daripada kemelut kehidupan dan memajukan diri,” kata anak ketiga daripada lapan beradik itu.
Kesemua anak Norsaadah kini berusia sembilan hingga 27 tahun.