SINGAPURA – Seorang lelaki di Singapura dijatuhi hukuman penjara 20 hari selepas gagal membayar denda SGD$10,000 (RM13,042) kerana membiarkan kucing peliharaannya kebuluran sehingga mati, lapor laman berita Thaiger semalam.
Menurut rekod mahkamah, lelaki berkenaan mengambil kucing tersebut pada Februari 2019 dan menjadi penjaga utamanya.
Bagaimanapun pada Oktober 2020, dia bersama keluarga berpindah dari rumah flat mereka di Sembawang, tempat kucing itu dipelihara.
Rumah baharu lelaki itu terletak kira-kira setengah jam perjalanan dari flat tersebut di Boon Lay. Dia hanya sekali-sekala kembali ke flat untuk memberi kucing itu makan.
Walaupun dimaklumkan oleh jiran mengenai bau busuk dari flat itu, lelaki tersebut tidak kembali untuk memeriksa kucingnya yang kelaparan.
Dalam perbicaraan mahkamah, dia mengaku kali terakhir memberi kucingnya makan adalah pada Disember 2020.
Lembaga Taman Negara menemui bangkai haiwan itu pada 2 Februari 2021. Bedah siasat mendapati ia mati akibat penghadaman sendiri, keadaan di mana sel yang mati mencerna sendiri akibat kelaparan, demikian menurut saluran Channel News Asia.
Lelaki itu mengaku bersalah mengakibatkan kematian kucing bernama Grey itu dengan gagal membekalkan makanan dan air mencukupi antara 25 Disember 2020 hingga 2 Februari 2021.
Lelaki itu meminta tempoh penangguhan untuk membayar denda tetapi gagal. Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara 20 hari akibat mengingkari denda. – Agensi