GUA MUSANG – Pelanggan yang sedang menjamu selera di sebuah kedai makan terkejut selepas sebuah treler yang membawa muatan batu kerikil terbalik melintang jalan di Jalan Gua Musang-Jeli dekat Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Terah, malam tadi.
Saksi kejadian, Mat Rozi Mat Kasim, 39, berkata, dia bersama lapan pelanggan lain sedang makan malam di kedai makan yang jaraknya hampir 200 meter dari tempat kejadian.
Katanya, mereka terkejut apabila mendengar bunyi brek treler berkenaan sebelum kenderaan itu terbalik bersama muatan batu kerikil.
“Selepas mendengar dentuman kuat, saya bersama beberapa pelanggan bergegas ke tempat kejadian dan melihat kenderaan berat terbabit sudah terbalik menutup kedua-dua arah laluan, manakala pemandu masih di tempat duduknya dalam keadaan tersepit,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Tambah Mat Rozi, kenderaan berat terbabit masih tidak dapat dialihkan sehingga pukul 1 tengah hari tadi dan usaha mengalihkan treler terbabit masih dilakukan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan terbabit kira-kira pukul 8.41 malam sebelum sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, anggota bomba berjaya menyelamatkan pemandu lori yang tersepit dan dihantar ke Hospital Gua Musang menggunakan jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS). Operasi menyelamat mangsa selesai pada pukul 9.18 malam,” katanya. – KOSMO! ONLINE