PUTRAJAYA – Kementerian Luar mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat dalam gempa bumi kuat di wilayah barat laut Iran Sabtu lalu.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, maklumat terbaharu itu turut disahkan sendiri oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia di ibu kota Teheran.
“Bagaimanapun, Kementerian Luar masih lagi memantau rapat perkembangan pasca bencana alam itu yang mengakibatkan tiga orang maut dan 816 cedera,” katanya tadi.
Gempa berukuran 5.9 skala Magnitud itu melanda Wilayah Azerbaijan Barat berdekatan sempadan dengan Turkiye pukul 9.44 malam waktu Iran (1.44 pagi Ahad waktu Malaysia).
Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, gempa kuat pada kedalaman tujuh meter itu terjadi berhampiran bandar raya Khoy yang terletak kira-kira 780 kilometer jauh dari Teheran.
“Warga Malaysia turut diminta supaya mendaftarkan diri dengan pihak kedutaan besar yang berada di No.25, North Zarafshan Street, Eyvanak Boulevard, Shahrak Qods,” katanya.
Wisma Putra berkata, langkah itu perlu untuk memudahkan bantuan konsular dapat disalurkan lebih cepat sekiranya berlaku sebarang insiden kecemasan di luar jangkaan. – KOSMO! ONLINE