PETALING JAYA – Seorang penghuni sebuah unit pangsapuri di Blok D, Flora Damansara, ditemui rentung dalam satu kejadian kebakaran, malam semalam.
Pusat gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 9.13 malam.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, sebanyak lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara, BBP Kota Anggerik, BBP Sungai Buloh, BBP Seksyen 7 dan BBP Puchong dengan kekuatan 25 anggota dan pegawai digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian pada pukul 9.22 malam, pasukan Bomba mendapati sebuah rumah di tingkat 21 telah terbakar sebanyak 90 peratus.
“Seorang mangsa ditemui rentung setakat ini dan identiti mangsa masih belum dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan awal pagi tadi.
Tambahnya, setakat pukul 10.20 malam, api berjaya dikawal dan proses pemadaman secara menyeluruh telah dilakukan sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE