KUALA LUMPUR – Polis Sentul mengesahkan pihaknya menerima aduan berkenaan individu tidak puas hati dengan berita yang melaporkan bahawa murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) tidak berminat untuk mempelajari Bahasa Melayu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima aduan tersebut daripada seorang lelaki tempatan berusia 69 tahun yang juga merupakan Pengerusi Majlis Bahasa Cina Malaysia pada pukul 3.36 petang, 21 Januari lalu.
Katanya, menurut pengadu, artikel yang dikeluarkan secara dalam talian oleh sebuah akhbar tempatan pada 18 Januari lalu telah menimbulkan persepsi buruk terhadap terhadap pelajar SJKC ekoran komen orang awam terhadap artikel tersebut.
Sehubungan itu, lelaki tersebut menyatakan segala kenyataan yang dikeluarkan di dalam artikel tersebut adalah tidak benar dan menimbulkan salah faham serta suasana tidak harmoni di antara kaum Cina dan kaum lain.
“Ekoran laporan itu, pihak kami mengesan dua artikel daripada akhbar tempatan yang bertajuk ‘SJKC pupils not keen to learn BM’ dan ‘Murid SJKC tak minat subjek Bahasa Melayu?’.
“Siasatan awal mendapati tajuk berita tersebut mempunyai kecenderungan untuk memberi persepsi yang mungkin mendatangkan kegusaran kepada awam.
“Bagaimanapun, kandungan artikel tersebut tidak mempunyai sebarang pernyataan yang berunsurkan hasutan atau membangkitkan kemarahan mana-mana kaum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru itu, Eng Lai berkata, siasatan akan terus dijalankan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Polis Kuala Lumpur menyeru orang ramai agar tidak menulis atau menyebarkan sebarang kenyataan yang boleh mendatangkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan kaum,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.