fbpx

PMINT sasar perolehan RM100 juta tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Adnan (dua dari kanan) menyampaikan anugerah pekerja cemerlang kepada salah seorang kakitangan PMINT di TTI, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU – Perbadanan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) menyasar perolehan sebanyak RM100 juta pada tahun ini dengan peningkatan sebanyak 33 peratus berbanding berbanding RM67 juta yang telah dicatat tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Wan Adnan Wan Deraman berkata, peningkatan prestasi kewangan itu bakal disumbangkan daripada  inisiatif Kumpulan melaksanakan penyusunan semula sembilan anak syarikatnya yang terlibat dalam sektor pembuatan, pelancongan, pertanian, perlombongan, pembangunan hartanah, pengangkutan dan pengurusan kompleks serta strata.

“Antara syarikat yang menjadi penyumbang terbesar kepada perolehan PMINT pada tahun lalu adalah PB Hotel Management Sdn. Bhd. yang menguruskan operasi Hotel PB.

“Selain itu, Permint Granite Sdn. Bhd. dalam sektor perlombongan, Pertima Terengganu Sdn. Bhd. (sektor pembuatan) dan P-Excell Management Sdn. Bhd.(pembangunan hartanah),” katanya pada majlis meraikan seramai 400 kakitangan Kumpulan Permint di sini.

Wan Adnan berkata, satu lagi anak syarikatnya, TTI Management Sdn. Bhd. yang menguruskan operasi Taman Tamadun Islam (TTI) juga disasar mula memperolehi keuntungan pada tahun ini.

Tambah beliau, sebelum ini, TTI Management agak bergelut dengan kewangan ekoran kos operasi tinggi.

“Pemilihan TTI sebagai hab ke pulau peranginan,  Pulau Redang sejak pertengahan tahun lalu telah memberi impak cukup besar terhadap perolehan TTI Management.

“Dalam pada itu, Pertima yang menghasilkan produk makanan dalam tin pula akan cuba meneroka pasaran luar negara bagi menjana keuntungan lebih besar pada tahun ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Adnan berkata, sektor pembangunan hartanah dijangka menyumbang RM40 juta kepada perolehan Kumpulan PMINT pada tahun ini.

Jelas beliau, P-Excell Management Sdn. Bhd. bakal lebih agresif dengan meninjau potensi membangunkan taman perumahan baharu  berharga RM300,000 hingga lebih RM600,000 seunit. 

“Kita juga melihat peluang untuk terlibat dalam pembinaan bandar-bandar lestari yang bakal dibina kerajaan negeri seperti  Durian Mentangau, Dungun dan Bandar Baharu Kerteh, Kemaman,” katanya. -KOSMO!ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI