PUTRAJAYA – Anak-anak Orang Asli seluruh negara kini berpeluang menguasai subjek Bahasa Inggeris dengan baik menerusi pengenalan Modul Literasi Bahasa Inggeris Murid Prasekolah Orang Asli yang dihasilkan oleh Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) selepasa berjaya dilancarkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek semalam.
Fadhlina menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, modul itu ditulis sendiri oleh guru ELTC yang turut menerapkan elemen interaktif sekali gus menjadikan sesi pembelajaran sangat aktif, partisipatif dan ceria.
Menurutnya, modul itu ditulis untuk memenuhi keperluan anak-anak orang asli suku kaum Semai, Mah Meri, Temuan dan Jakun.
“Saya mahu modul pembelajaran ini diperluaskan agar lebih ramai anak-anak orang asli mendapat akses pembelajaran bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka.
“Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa komited untuk terus memperkukuhkan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan meningkatkan kepakaran guru Bahasa Inggeris,” katanya.
ELTC ditubuhkan pada 1 Jun 2002 bagi melatih guru supaya pakar dalam Bahasa Inggeris selain membangunkan secara inovatif program Pengajaran Bahasa Inggeris (ELT) yang akan merujuk kepada standard antarabangsa. – KOSMO! ONLINE