fbpx

‘Kenderaan lebih banyak daripada penduduk Malaysia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KEPESATAN pembangunan infrastruktur terutama melibatkan jalur trafik di kawasan Lembah Klang dan Kuala Lumpur mengalami peningkatan yang mendadak sejak 10 hingga ke 15 tahun lalu dalam usaha memberikan kesan efektif bagi penyuraian kesesakan jalan raya.

Bagaimanapun, semakin banyak jalan atau lebuh raya baharu dibina, semakin banyak pula kesesakan dilaporkan, malah semakin teruk sejak kebelakangan ini.

Menurut pakar pengangkutan, Prof Dr. Kulanthayan KC Mani dari Universiti Putra Malaysia, jumlah kende­raan di Malaysia sudah melebihi jumlah penduduk negara ini berdasarkan data diperoleh pada 2021.

Berdasarkan data tersebut, terdapat 33.3 juta kenderaan berdaftar seluruh negara berbanding hanya 32.6 juta keseluruhan penduduk, malah bukan kesemua penduduk pada semua peringkat umur boleh memandu.

Biarpun tidak mempunyai data jelas dan tepat, pertambahan jumlah kenderaan ketika ini dikatakan meningkat sebanyak sejuta bagi setiap tahun bermula 2019.

Walaupun ada yang menganggap kesesakan adalah asam garam hidup di kota metropolitan atau berasakan ‘alah bisa tegal biasa’, namun ia masih memberikan kesan buruk untuk jangka masa panjang.

Masalah berkenaan akan meningkatkan tahap tekanan dalam kalangan pemandu kenderaan seterusnya menyebabkan kestabilan emosi terganggu dan menjadi cepat marah.

Berdasarkan kajian perubatan, tekanan yang berlanjutan dan memuncak tanpa kawalan akan meletakkan individu dalam risiko serangan sakit jantung, malah le­bih teruk ia boleh mengundang strok.

Justeru, kesesakan lalu lintas ketika ini tidak boleh lagi dilihat sebagai perkara biasa dan rutin sebaliknya satu langkah proaktif perlu diambil.

Beberapa cadangan mungkin boleh dipertimbangkan sebagai contoh mewujudkan waktu kerja berbeza antara sektor awam dan swasta misalnya, kakitangan awam perlu memulakan kerja dua jam lebih awal berbanding pekerja swasta.

Selain itu, mewujudkan syif bagi setiap pekerja di mana syif pertama bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang, manakala syif kedua antara 10 pagi hingga 7 malam.

Sebahagian syarikat-syarikat swasta juga boleh mempertimbangkan cadangan waktu kerja ‘tambah satu jam’ berbanding hari biasa bermula Isnin hingga Khamis supaya waktu kerja pada hari Jumaat boleh dipendekkan setakat pukul 12.30 tengah hari sahaja.

Kerajaan juga perlu memainkan peranan untuk terus memperkasakan perkhidmatan awam terutamanya sistem rel menjadikannya ia lebih efisyen tanpa perlu pengguna menukar terlalu banyak jajaran untuk tiba ke pejabat dari rumah.

Stesen-stesen yang menggabungkan beberapa sistem rel diletakkan secara berpusat juga mampu menggalakkan pekerja menggunakan pengangkutan awam berke­naan kerana modelnya sudah ada dengan melihat apa yang dilakukan oleh negara tetangga, Singapura.

Sehubungan itu, sebagai pengguna, kami mengharapkan kerajaan hari ini mampu melihat perkara berkenaan dengan lebih serius dan mengeluarkan solusi-solusi yang mampu memberi manfaat kepada seluruh rakyat. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI