BANGKOK – Seorang lelaki di Thailand diberi amaran keras oleh isterinya bahawa wanita itu akan ‘membakar’ zakarnya menggunakan besi panas jika dia ditangkap berjudi sekali lagi, lapor laman berita Thaiger.
Isteri lelaki berkenaan berkongsi gambar dan video di media sosial yang memaparkan situasi dia mengikat suaminya untuk memalukannya kerana ketagih berjudi online.
Laman berita Khon Khao Ton Prakarn kemudian berkongsikan semula video dan gambar tersebut.
Wanita berkenaan meminta pentadbir laman tersebut dan netizen menjadi saksi ketika suaminya berjanji untuk tidak berjudi lagi.
“Saya tidak akan menyertai perjudian dalam talian. Jika saya gagal berbuat demikian, anda boleh meletakkan seterika panas pada zakar saya,” katanya.
Wanita itu turut mengurangkan wang saku harian suaminya kepada 150 baht (RM19) sebagai hukuman.
Setelah ditemu bual oleh akhbar Khaosod, lelaki itu mendedahkan bahawa dia menerima wang 200 baht (RM25) untuk membeli makanan dan minuman di tempat kerja. Akan tetapi, dia menggunakan sebahagian wang itu untuk berjudi menggunakan telefon bimbitnya.
Oleh kerana khuatir diminta cerai oleh isteri, lelaki itu tidak melawan dan mengakui kesalahannya. – Agensi