PETALING JAYA – Pengguna di negara ini kini terpaksa membayar lebih bagi menukar minyak gear yang mengalami kenaikan harga antara 20 hingga 30 peratus sejak beberapa bulan lalu.
Kenaikan itu sekitar RM11 bagi seliter pada 2022 yang kebiasaannya minyak gear original dijual pada harga RM28 bagi satu liter.
Di Pulau Pinang, seorang pengusaha bengkel, Ah Hock, 50-an, berkata, sekarang ini bekalan minyak gear original sukar didapati sehingga ada yang menggunakan minyak tiruan.
“Kalau minyak gear original, memang susah nak dapat (stok) sebab keluaran tak menentu.
“Kalau datang dengan pakej yang banyak, harga akan murah. Begitulah sebaliknya. Sebab itu harga tidak menentu. Pengeluar utama yang tentukan harga, bukannya pengusaha bengkel,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di bengkelnya di Telok Ayer Tawar di sini semalam.
Beritahu Ah Hock, harga bagi satu liter minyak gear (original) adalah dalam lingkungan RM34 hingga RM35 sebotol, manakala harga bagi 1.5 liter dianggarkan RM50.
Sebelum ini, harga bagi minyak gear jenama biasa dijual RM28 untuk satu liter.
Di Perak, menurut jurucakap syarikat Syumul Jati Enterprise, kadar kenaikan yang berlaku secara berperingkat-peringkat tersebut turut melibatkan alat ganti kenderaan.
Jelasnya, pembekal memaklumkan mereka bahawa kenaikan harga itu adalah disebabkan oleh kekurangan bekalan alat ganti asli (OEM) yang rata-ratanya diimport dari negara pengeluar seperti China, Thailand dan China.
“Masalah ini bermula sejak pandemik Covid-19 melanda dunia. Ia menyebabkan syarikat pengeluar OEM tidak dapat beroperasi sehinggalah baru-baru ini apabila ekonomi kembali pulih,” jelasnya.
Di Terengganu, harga minyak pelincir di pusat-pusat servis kenderaan di negeri ini mengalami kenaikan antara RM10 dan RM20 bagi botol empat liter berbanding sebelum ini.
Seorang pemilik bengkel membaiki kenderaan, Jason Ng, 37, berkata, kenaikan itu sudah bermula sejak pertengahan tahun lalu.
“Bukan sahaja minyak pelincir malah alat-alat ganti kenderaan. Pelbagai jenis alat ganti kereta dan minyak pelincir terpaksa dijual pada harga lebih mahal.
Di Selangor pula, Ketua Pegawai Operasi Syarikat Platinum Oil & Gas Sdn.Bhd., Azizi Mastuki berkata, kenaikan harga minyak mentah dunia ketika perang Ukraine dan Rusia lalu jelas memberikan impak dari segi rantaian bekalan di peringkat dunia.
Katanya, peperangan juga mempengaruhi produk berkaitan minyak sama ada minyak gear atau minyak hitam yang amat diperlukan dalam sistem penyelenggaraan kenderaan.
“Kalau dulu, caj untuk servis minyak enjin, filter minyak, minyak gear dan lain-lain di kedai biasanya sekitar RM230 hingga RM250 sahaja. sekarang naik sehingga lebih RM300,” jelasnya.