PETALING JAYA – Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menepati ramalan apabila dipilih menjadi Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi penggal 2023-2027.
Keputusan tersebut disahkan selepas berakhirnya Kongres Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang berlangsung di Manama, Bahrain hari ini.
Hamidin yang meraih 35 undian menjadi anatra tujuh calon yang bertanding bagi mengisi lima kerusi wakil lelaki Asia dalam Majlis FIFA kali ini.
Selain Hamidin, turut terpilih adalah heikh Hamad Khalifa A. A. Al Thani dari Qatar (40 undian) Kohzo Tashima (Jepun/39 undian), Yasser H. Almisehal (Arab Saudi/35 undian) dan Mariano Areneta Jr. (Filipina/34 undian).
Sebagai rekod, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menjadi wakil Malaysia pertama dalam Majlis Fifa susulan kemenangan baginda pada Kongres AFC edisi 2015.
Sementara itu, Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa mengekalkan jawatan tertinggi badan induk bola sepak benua Asia selepas menang tanpa bertanding sehingga tahun 2027. – KOSMO! ONLINE