KUANTAN – Kejahatan ‘Geng Mirul Dog’ yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah sejak Oktober tahun lalu berakhir dengan penahanan dua suspek berusia 32 tahun termasuk ketuanya Jumaat lalu dalam satu serbuan polis di sebuah rumah di kawasan Balok, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, penahanan kedua-dua suspek sekali gus menyelesaikan lapan kes pecah rumah yang dilaporkan berlaku di kawasan Kampung Pandan, Air Putih, Indera Mahkota dan Beserah.
“Bertindak dari hasil risikan pasa 27 Januari lalu lebih kurang jam 6.30 petang, satu serbuan dilakukan di sebuah rumah di kawasan Balok dan telah membuat tangkapan dua lelaki tempatan serta merampas sebuah kereta dan peralatan pecah rumah.
“Hasil siasatan lanjut terhadap kedua-dua suspek telah membawa kepada rampasan barang disyaki hasil kegiatan pecah rumah yang dilakukan mereka seperti telefon bimbit, komputer riba, jam tangan dan barangan perhiasan wanita,”katanya dalam sidang akhbar di IPD Kuantan di sini, hari ini.
Menurutnya Kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek ditahan reman selama lapan hari sehingga 3 Februari ini.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang berasal dari Kuantan dan bekerja sebagai buruh binaan itu mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mendapati keduanya positif dadah.
Beliau memberitahu, suspek dipercayai menggunakan modus operandi dengan cara mengumpil pintu dan melakukan aktiviti pecah rumah di kediaman yang tiada penghuni di waktu siang hari.
Dalam pada itu Wan Mohd Zahari juga memberitahu, hasil siasatan ke atas kedua-dua suspek membawa kepada penahanan seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun yang berperanan sebagai pembeli barangan kemas dari kedua-dua suspek.
“Suspek warga emas ini merupakan warga tempatan dan bekerja sebagai seorang peniaga selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan uspek tersebut dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan namun siasatan lanjut terhadap kumpulan ini masih diteruskan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE