SIK – Beratus-ratus penduduk di Kampung Landai dalam mukim Sok di sini, kini hidup dalam kebimbangan susulan kehadiran enam ekor gajah liar yang didakwa kerap memasuki kawasan kebun selain semakin berani menghampiri rumah mereka sejak seminggu lalu.
Seorang penduduk, Ahmad Ad, 51, berkata, enam ekor gajah itu dipercayai datang dari Hutan Ulu Muda untuk mencari makanan berdekatan kawasan kampung.
“Ada dua ekor gajah dewasa, dua masih muda, seekor anak yang sudah membesar dan seekor lagi anak yang mungkin baharu dilahirkan berkeliaran berdekatan rumah pada pukul 9 malam kelmarin,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Katanya, kumpulan haiwan liar itu menceroboh tanaman pisang dan pokok kelapa yang ditanam di tepi rumah.
“Gajah itu pernah menghampiri bahagian dapur rumah pada jarak kira-kira 100 meter sahaja, namun hanya makan umbut pisang dan umbut kelapa dan tidak mengganggu tanaman lain seperti pokok durian, cempedak dan langsat,” ujarnya.
Menurutnya, dua daripada gajah itu kelihatan kurus sehingga menampakkan tulang, berkemungkinan tidak cukup makan di dalam hutan menyebabkan haiwan tersebut merayau sehingga ke kawasan perkampungan berhampiran.
“Ada juga kemungkinan habitat haiwan itu diganggu disebabkan aktiviti pembalakan,” jelasnya.
Ahmad berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat bertindak segera bagi memastikan keselamatan penduduk dan keluarganya terjamin.
Seorang lagi penduduk, Yob Yaacob, 68, berkata, selama 20 tahun tinggal di situ, tidak pernah sekalipun gajah muncul sehingga ke muka pintu rumahnya.
“Dua hari lalu, saya terkejut apabila anak beritahu gajah sudah menghampiri belakang rumah. Kami hanya bimbang jika gajah mengamuk seterusnya mengancam nyawa dan harta benda.
“Kawanan gajah itu menghampiri pintu dapur rumah dan makan pokok pisang yang saya tanam selain meninggalkan najis di situ,” katanya.
Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Hassan Zakaria, pihaknya telah menghubungi Perhilitan dan mereka bertindak dengan cara menghalaunya semula ke hutan.
“Cara menghalau ini tidak begitu berkesan kerana gajah-gajah itu akan datang semula ke penempatan penduduk, tambahan pula gajah-gajah itu mempunyai anak yang baharu dilahirkan menyebabkan susah untuk haiwan itu bergerak semula ke dalam hutan,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE