PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan keadaan cuaca adalah cerah di Semenanjung Malaysia pada pagi ini.
MetMalaysia dalam laporan ramalan cuacanya berkata, pada pagi ini hujan hanya berlaku melibatkan beberapa kawasan di negeri Terengganu.
“Hujan telahpun berlaku di sekitar persisiran pantai Terengganu dijangkakan ia akan menuju masuk ke bahagian daratan dan akan berlanjutan sehingga ke awal tengah hari nanti.
“Manakala lain-lain tempat cuaca masih cerah namun hujan masih lagi berlaku di satu dua tempat di Selangor dan diramalkan akan berterusan dalam tempoh satu hingga dua jam dari sekarang,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu katanya, MetMalaysia telahpun mengeluarkan amaran cuaca peringkat waspada bagi bahagian barat negeri Sarawak yang dijangkakan akan berlanjutan sehingga tengah malam nanti.
“Namun demikian menjelang hari esok, dijangkakan keadaan cuaca di negeri Sarawak ini akan beransur reda dan hanya hujan dan ribut petir di satu dua tempat melibatkan beberapa kawasan di sekitar negeri Sarawak ini akan berlaku menjelang lewat petang.
“Di negeri Sabah pula, keadaan cuaca adalah baik dan cerah namun demikian pada pagi ini keadaan cuaca masih lagi lembab bagi bahagian pantai barat dan juga Kudat, Sabah manakala di Sarawak pula meliputi bahagian Miri dan Limbang serta di sekitar persisir pantai di bahagian barat Sarawak,” ujarnya.
Katanya, keadaan itu dijangkakan akan berlanjutan sehingga ke awal tengah hari nanti. – KOSMO! ONLINE