BEIJING – Seekor cimpanzi di sebuah zoo di selatan China melempar botol ke udara lalu mengenai kepala seorang gadis yang sedang merakam kejadian tersebut, lapor portal berita MailOnline semalam.
Klip video tersebut memaparkan situasi cimpanzi berkenaan berada di kandangnya di Zoo Nanning, sebelum bertindak ganas dengan melompat dan melempar barang.
Ibu gadis itu berkata, mereka sedang menikmati lawatan ke zoo sebelum botol air yang dibaling menyebabkan kecederaan pada mata anak perempuannya.
Gadis bawah umur itu dikatakan mengalami pendarahan akibat terkena botol tersebut. Skrin telefonnya turut pecah apabila terjatuh ke tanah, demikian menurut media tempatan.
Zoo Nanning memberitahu media tempatan mereka sedang menyiasat kes itu dan tidak boleh mengulas sebelum laporan selesai.
Kejadian itu menimbulkan perdebatan hangat di media sosial dengan netizen menuduh pelancong menyeksa cimpanzi tersebut.
Pengguna lain mendakwa haiwan itu menimbulkan ancaman kepada manusia dan meminta ia dikurung. – Agensi