SEREMBAN – Susulan gangguan bekalan air yang berlaku di daerah ini sejak semalam, Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 dekat sini membuat perkhidmatan khas kemanusiaan penghantaran air kepada Masjid Taman Rasah Jaya bagi urusan memandikan jenazah.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Zamhuri Zainnordin memaklumkan, pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.34 pagi dan segera menghantar sebuah tangki air yang berjumlah 20,000 liter bagi urusan memandikan jenazah di masjid berkenaan pagi ini.
“Kami telah mengisi lebih 800 liter air di tangki simpanan air bagi kegunaan mandi jenazah dan ini bukan kali pertama kami menerima panggilan seperti ini, kami bersedia pada bila-bila masa sekiranya diperlukan,” katanya hari ini.
Menurutnya lagi, pihak bomba akan mengikut keperluan dan panggilan bagi perkhidmatan khas kemanusiaan seperti ini.
Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, membuat penutupan sementara bekalan air di sebahagian kawasan Seremban dan Kuala Pilah pada 31 Januari sehingga 2 Februari berikutan kerja-kerja penyambungan dan pengalihan paip serta kerja-kerja servis peralatan bervoltan tinggi. – KOSMO! ONLINE