SHAH ALAM – Sebuah bengkel selenggara bas di Jalan Sungai Buaya, Rawang diserbu selepas dikesan berpotensi mencemarkan sungai dan menjejaskan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang.
Perkara itu dikesan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang menjalankan pemantauan di sekitar lembangan Sungai Selangor bagi mengesan aktiviti yang menjejaskan kualiti air.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, serbuan bersama agensi kerajaan lain itu menemukan tumpahan disyaki minyak hitam di premis tersebut.
“Pemeriksaan membawa kepada penemuan enam tong minyak dan tumpahan yang berpotensi mencemarkan Sungai Serendah. Selain itu, ia boleh menjejaskan operasi LRA Rantau Panjang dengan anggaran jarak 20 kilometer,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan arahan kepada pemilik bengkel itu membuat kawalan dan pelupusan ke atas buangan terjadual minyak hitam terpakai.
“Tindakan tegas itu perlu dimaklumkan kepada jabatan tersebut dalam tempoh tiga hari. Selain itu, Notis 425 (1) Kanun Tanah Negara 1965 diberikan atas kesalahan menduduki tanah kerajaan (meletakkan bas) tanpa kebenaran,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE