fbpx

Amerika akan hempas ISS ke Lautan Pasifik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sejak 1998, ISS sudah beroperasi dengan menjalankan lebih 3,000 penyelidikan. - Foto AFP

WASHINGTON – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) memutuskan untuk menghancurkan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) tepat ke Bumi menjelang 2031, lapor akhbar Daily Star kelmarin.

Stesen angkasa lepas milik NASA yang dibina dengan kos lebih AS$150 bilion (RM637.50 bilion) itu berada pada ketinggian 400 kilometer (km) dari Bumi. Ia akan dihempas ke Lautan Pasifik selepas hari terakhir aktivitinya tamat.

Tujuan menghempaskan ISS di laut, kata NASA, adalah untuk memusnahkan komponen lama di angkasa lepas dan mengurangkan objek buatan manusia atau sampah angksa di orbit serta atmosfera Bumi.

Pakar-pakar enggan membiarkan ISS mereput di angkasa lepas, sebaliknya mereka mahu mengalihkan stesen angkasa tersebut ke lokasi selamat dan berair seperti Lautan Pasifik.

Seorang jurucakap NASA berkata: “Sektor swasta secara teknikal dan kewangan, mampu membangunkan dan mengendali kapal angkasa komersial ketinggian rendah dengan bantuan NASA.

“Kami berharap untuk berkongsi pengajaran dan pengalaman operasi kami dengan sektor swasta untuk membantu mereka membangunkan stesen yang selamat, boleh dipercayai dan kos efektif di angkasa lepas.

“Laporan yang kami telah sampaikan kepada Kongres Amerika Syarikat(AS) menerangkan secara terperinci rancangan komprehensif kami untuk memastikan peralihan lancar ke destinasi komersial selepas persaraan ISS pada 2030,” katanya.

Dengan 2030 disebutkan sebagai tarikh persaraan ISS, NASA berharap untuk menghempasnya ke kawasan Point Nemo yang tidak berpenghuni di Lautan Pasifik.

Laporan bajet daripada pegawai-pegawai NASA menetapkan Januari 2031 sebagai masa untuk menjatuhkan ISS dari angkasa lepas. Ia akan terhempas di Lautan Pasifik di sebuah lokasi 4,828 kilometer dari pantai timur New Zealand.

Bukan sesuatu yang luar biasa bagi NASA untuk membuang sampah angkasa lepas jauh ke dalam lautan dengan saluran berita CNN melaporkan bahawa 263 serpihan angkasa lepas dari pelbagai negara telah dibuang ke dalam laut sejak 1971.

Menurut Badan Penyiaran Britain, ISS merupakan projek usaha sama melibatkan lima buah agensi dan mula beroperasi sejak 1998. ISS menerima kehadiran angkasawan secara berterusan sejak tahun 2000.

Terdapat lebih 3,000 penyelidikan dilakukan dalam ISS. Pada asalnya, ISS diluluskan untuk beroperasi sehingga 2024, manakala sebarang lanjutan tempoh perkhidmatan perlu mendapat persetujuan daripada negara-negara yang menyumbang kepada pembinaannya.

Menurut NASA, pihaknya akan dapat menjimatkan sekitar AS$1.3 bilion (RM5.53 bilion) dengan memindahkan aktiviti di orbit ketinggian rendah Bumi kepada sektor swasta. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI