PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini memaklumkan penamatan amaran hujan berterusan (waspada) yang dikeluarkan untuk negeri Sarawak.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, amaran itu ditamatkan berikutan analisis model-model cuaca mendapati keadaan bertambah baik dan tiada potensi hujan berterusan di negeri itu.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan.
“Talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, MetMalaysia turut mengeluarkan ramalan cuaca signifikan melibatkan beberapa kawasan di barat Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.
“Berdasarkan analisis model-model cuaca, ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang dijangka berlaku di kawasan pedalaman dan barat Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak pada sebelah petang dan malam dalam tempoh ramalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE