KUALA LUMPUR – Seramai 24 orang pengamal perubatan kerajaan dan swasta mendendangkan puisi bagi meluahkan hati dan perasaan hadapi cabaran sepanjang perjuangan menentang Covid-19 pada Malam Puisi Kemanusiaan 2023.
Dengan tema ‘Bangkit dari Jatuh’ adalah satu manifestasi semua petugas untuk terus mengumpul semangat bagi memberikan khidmat dan bakti kepada setiap lapisan masyarakat.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr. Asmayani Khalid berkata melalui puisi yang berkisar tentang kemanusiaan diharapkan dapat menyalakan harapan bagi petugas kesihatan terus kukuh, bersatu hati dan mara dengan kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi pada masa akan datang.
“Malam Puisi Kemanusiaan ini menjadi wadah untuk kita semua memberikan harapan disebalik semua kepayahan dan kesulitan.
“Semua orang pernah jatuh, tetapi yang paling penting adalah terus bangun dan bangkit setiap kali jatuh,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Puisi Kemausiaan 2023 di sini malam ini.
Katanya, dalam apa juga keadaan petugas kesihatan akan terus memberi perkhidmatan sepenuh hati dalam apa juga keadaan sama ada sebelum, semasa mahupun selepas pandemik dan tidak akan berganjak untuk berkhidmat kepada masyarakat.
“Di sebalik semua bencana yang melanda, kita juga saksikan semangat kekitaan dan kesungguhan untuk membantu dan bersama mahu bangkit semula walaupun ramai yang jatuh berulang kali,” ujarnya.
Malam Puisi Kemanusiaan 2023 dianjurkan oleh Hospital Kuala Lumpur (HKL) berlangsung pada malam ini, menghimpun petugas-petugas kesihatan dan kerajaan dan swasta dari pelbagai dispilin dan kategori. – KOSMO! ONLINE.