SEBERANG PERAI – Seorang pegawai kesihatan persekitaran terpaksa meringkuk di penjara sehari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth, di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan sebanyak RM5,200 tujuh tahun lalu.
Tertuduh, Sumardi Yazid, 41, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan sejurus ia dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai penolong pegawai kesihatan persekitaran didakwa menerima untuk dirinya suatu barang yang berharga dengan tanpa balasan iaitu wang tunai berjumlah RM5,200 dengan membuat syor memilih syarikat yang dimiliki adiknya bagi melaksanakan kerja membekal peralatan bekalan am.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 8 Mac 2016 di Pejabat Kesihatan Seberang Perai Tengah (SPT) Berapit, Bukit Mertajam.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya, tertuduh yang diwakili peguam Ang Chun Pun memohon agar hukuman ringan diberikan kerana anak guamnya yang digantung tugas perlu menyara isteri, seorang anak berusia 14 tahun dan ibu mentua yang diserang strok.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee walau bagaimanapun meminta hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana rasuah boleh mendatangkan kerosakan kepada masyarakat sekiranya tidak dibendung.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000, jika gagal bayar boleh dipenjara selama lima bulan.
Kosmo! difahamkan, tertuduh yang mengenakan baju-t berwarna kelabu itu telah membayar denda yang dikenakannya tadi. – KOSMO! ONLINE