GUA MUSANG – Lebih 200 ibu bapa murid Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Brooke di sini yang mempunyai tanggungan anak yang ramai bersyukur menerima sumbangan Bantuan Awal Persekolahan (BAP).
Seorang ibu, Zaiton Anjang, 37, berkata, bantuan tunai RM150 itu membantu masyarakat Orang Asli bagi meringankan beban belanja persekolahan anak terutamanya ketika mereka hilang punca pendapatan kerana ancaman haiwan liar di perkampungan mereka.
Katanya, bantuan itu dapat menampung pendapatan suami yang mencari sumber wang menerusi kerja kampung.
“Kami rasa gembira apabila nilai bantuan duit untuk anak-anak Orang Asli meningkat daripada RM100 ke RM150 tahun ini.
“Wang ini dapat kami beli keperluan anak-anak seperti baju, kasut dan beg sekolah,” katanya selepas menerima wang sumbangan BAP di Sekolah Kebangsaan Pos Brooke di sini hari ini.
Nur Mawar Alieena Pandak, 31, berkata, dia bersyukur apabila dua orang anaknya layak menerima bantuan sebanyak RM300.
Katanya, bantuan itu mengurangkan beban belanja ibu bapa selepas mereka tidak dapat ke hutan kerana takut dengan ancaman haiwan liar seperti gajah, harimau dan beruang.
Sementara itu, Guru Besar SK Pos Brooke, Wan Md. Azrul Hisham Wan Mohd. Ramli berkata, peruntukan sebanyak RM44,700 diberikan oleh kerajaan kepada 298 murid Orang Asli di Pos Brooke.
Katanya, pihak sekolah mengharapkan agar peruntukan yang diterima itu dapat digunakan dengan sebaik mungkin untuk tujuan pendidikan murid Orang Asli. – KOSMO! ONLINE