KUALA LUMPUR – Sebanyak 121 kemalangan maut membabitkan 134 kematian direkodkan di seluruh negara sepanjang tempoh 10 hari Op Selamat 19 yang dilancarkan sempena Tahun Baharu Cina tahun ini.
Bermula daripada 18 hingga 27 Januari, sebanyak 15,999 direkodkan sekali gus meningkat sebanyak 41 peratus berbanding pada 2022 iaitu 11,325 kes.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, sebanyak 121 kemalangan maut direkodkan manakala 134 kes kematian dicatatkan melibatkan pertambahan 15 kes berbanding tahun lalu, 119 kes.
“Penunggang dan pembonceng motosikal kekal angka korban tertinggi iaitu 81 kematian sepanjang Op Selamat 19.
“Bagaimanapun, tiada kemalangan maut melibatkan 30 lokasi panas di Lebuh Raya Utara-Selatan, justeru itu tindakan mengenal pasti lokasi panas baharu akan dilakukan,” ucap beliau ketika Majlis Penutup Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina 2023.
Dalam majlis yang sama, Kontinjen Kuala Lumpur diumumkan sebagai sebagai Anugerah Kontinjen Terbaik manakala Daerah Terbaik iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bharu Selatan sempena Op Selamat
Tambah Razarudin, sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 160,375 saman dikeluarkan di seluruh negara.
“Jumlah ini menurun berbanding tahun lalu iaitu 308,726 saman. Saman yang dikeluarkan adalah bersifat mendidik dengan memberi fokus enam kesalahan utama,” katanya.
Sementara itu, Razarudin menyatakan sebanyak 65,519 rondaan dijalankan ke atas rumah serta premis yang ditinggalkan.
“Sebanyak 29,601 kereta peronda (MPV), 13,387 Unit Rondaan bermotor (URB), 19,367 rondaan melibatkan elemen balai dan 6,164 lain-lain rondaan.
“Jelas dapat dilihat, kesedaran tinggi dalam kalangan masyarakat dan penguatkuasaan hasil program pencegahan jenayah menjadi faktor penurunan kes jenayah,” katanya. -KOSMO! ONLINE.