BANGI – Kerajaan Malaysia akan berbincang dengan Indonesia untuk mewujudkan undang-undang penjualan minyak sawit dan komoditi lain yang berkaitan dengan penebangan hutan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perbincangan itu akan sebagai usaha menangani tohmahan terhadap minyak sawit mentah yang dibuat oleh Kesatuan Eropah (EU).
Difahamkan, perbincangan tersebut akan mengambil tempat di Indonesia pada bulan Februari depan.
“Kita semua sedia maklum bahawa industri sawit berdepan dengan cabaran besar dalam bentuk tohmahan dan kempen terancang bagi memburukkan sektor tersebut.
“Bagaimanapun, kerajaan akan terus mengeratkan hubungan kerjasama dengan Indonesia termasuk membincangkan undang-undang yang melarang penjualan sawit dan komoditi lain yang dikaitkan dengan penebangan hutan.
“Melainkan, pengimport boleh menunjukkan pengeluaran barangan khusus mereka tidak memusnahkan hutan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) 2022 di Ibu Pejabat MPOB, di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, strategi kerjasama dengan Indonesia serta Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) dilihat mampu memberikan tekanan kepada EU supaya Malaysia dan Indonesia tidak terus dibuli.
“Saya bersetuju bahawa negara-negara pengeluar minyak sawit perlu bersepakat dalam agar bantahan terhadap diskriminasi minyak sawit dapat dibuat secara bersepadu dan efektif,” ujarnya.
Sehubungan itu, tambahnya, Kementerian dan agensi di bawahnya akan meningkatkan usaha dengan laporan fakta yang tepat mengenai kemampanan dan kebaikan minyak sawit.
Pada masa sama, MPOB turut menerima pengiktirafan di bawah Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biak-baka (ABBC) yang telah dipilih sebagai penerima Anugerah Sains Mahathir 2022. – KOSMO! ONLINE