KOTA BHARU – Lelaki kurang siuman yang maut selepas bergelut dengan pengawal keselamatan di Masjid Pulau Melaka di sini kelmarin, berkali-kali melaungkan bahawa dia merupakan dajal yang dihantar Tuhan.
Bukan itu sahaja, dia turut menepuk dadanya berkali-kali sebelum menyerang seorang wanita yang berada di kawasan itu pada pukul 6.30 petang.
W. Faudilah W. Abdullah, 57, berkata, selepas melaungkan ayat itu, lelaki tersebut meluru ke arahnya sebelum melepaskan tendangan hingga mengakibatkannya terjatuh lalu terbaring dalam keadaan mengiring.
Katanya, lelaki itu kemudian memijak dan menyepak belakang badan, kepala dan bahunya secara bertubi-tubi.
“Nasib baik ada sekumpulan pelajar tahfiz di tingkat atas masjid ternampak kejadian itu lalu menyelamatkan saya.
“Kejadian itu menyebabkan lengan, belakang badan dan tengkuk saya lebam sebelum dipapah masuk ke dalam rumah warden yang terletak berhampiran masjid,” katanya ketika ditemui di Kampung Pulau Melaka di sini semalam.
Berita berkaitan: Lelaki sakit mental maut dibelasah pelajar tahfiz
Menurut W. Faudilah, dia agak pelik dengan tindakan lelaki itu, tetapi tidak mengendahkannya.
Tambahnya, seorang wanita kemudian membawanya ke balai polis untuk membuat laporan sebelum ke Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Sementara itu, di Pasir Puteh, ibu lelaki tersebut yang enggan dikenali berkata, dia menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kejadian menimpa anaknya.
“Sebelum ini dia (anak) kerap ke masjid untuk mengikuti pengajian agama. Arwah pernah bekerja sebagai jaga di Johor dan sudah setahun pulang ke kampung untuk menjaga neneknya yang berusia 101 tahun,” katanya ketika ditemui di Kampung Changgai, Gaal di sini semalam.
Wanita itu memberitahu, kematian anaknya hanya diketahui selepas dimaklumkan oleh polis.
Tambahnya, arwah dilihat tidak stabil ketika keluar rumah tiga hari lalu dan laporan berhubung kehilangannya dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sebelum mengamuk, mangsa baru selesai menunaikan solat Asar di masjid itu.
Pengawal keselamatan masjid cuba menahannya sebelum berlaku pergelutan.
“Ketika bergelut, beberapa pelajar tahfiz datang membantunya lalu berjaya menahan mangsa. Ketika polis sampai, kita dapati mangsa meninggal dunia. Sebelum mengamuk, mangsa melakukan perbuatan sama dan mencederakan neneknya di Pasir Puteh,” katanya.
Seramai 12 saksi termasuk pelajar tahfiz, warden dan wanita yang diserang telah dipanggil untuk memberi keterangan.
Pengawal keselamatan berusia 32 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.