PETALING JAYA – Ibarat gali lubang, tutup lubang.
Itu perumpamaan yang diberikan Perunding kewangan, Afyan Mat Rawi berikutan cadangan untuk menjadikan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran untuk berhutang dengan bank.
Katanya, ia hanya akan menguntungkan bank dan wang KWSP lebih baik kekal di instrumen itu berbanding dikeluarkan untuk tujuan yang tidak terdesak.
“Sudah sekian lama, tujuan asal KWSP adalah untuk persaraan. Namun ia sudah dibenarkan untuk pelbagai pengeluaran lain, contohnya pembelian rumah, kos perubatan, pelaburan, simpanan haji dan banyak lagi.
“Sepatutnya dari awal bekerja, sebaiknya buat akaun berasingan bagi tujuan lain. Buat tabungan khas untuk tujuan pembelian rumah, pendidikan anak-anak, pelaburan, haji dan sebagainya. Jika semuanya bergantung kepada KWSP, ia bukanlah sesuatu tindakan bijak.
“Jika situasi itu disebabkan pengeluaran untuk tujuan benar-benar terdesak, dapat kita fahami. Tapi malangnya ramai juga yang buat pengeluaran dengan mindset, bila lagi nak merasa duit KWSP. Kalau tunggu umur bersara, belum tentu hidup”, katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Tambahnya, penyelesaian masalah menggunakan KWSP hanyalah umpama pil penahan sakit, tetapi ia tidak menyelesaikan akar masalah sebenar iaitu literasi kewangan.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak melihat keputusan untuk membenarkan pengeluaran KWSP buat masa ini adalah yang terbaik kerana majoriti pencarum mempunyai simpanan terlalu sedikit.
Dalam statistik terkini, KWSP memaklumkan, seramai 6.1 juta ahli mempunyai kurang RM10,000 dalam akaun mereka.