Bayangkan anda berdiri di dalam sebuah gedung pakaian yang penuh jenama mahal serta mewah dan cuba berpusing sambil pandang sekeliling. Apa yang anda lihat? Sudah tentu anda membayangkan satu ruang luas dalam rona putih yang mengandungi pakaian begitu indah dan dihimpunkan di bawah papan tanda yang membawa nama-nama pereka tempatan dan antarabangsa.
Cuba anda melangkah menelusuri rak-rak pakaian yang dilipat kemas dan cantik, mahupun yang bergantungan, pasti anda mulai terasa bahawa ruang itu dipenuhi dengan penjelmaan semangat penuh kewanitaan, seperti koleksi rekaan Valentino oleh Pierpaolo Piccioli yang membawa mesej understated elegance, romance & sensual sobriety atau wanita Versace pula tampil yakin dengan karakter tersendiri.
Apa kurangnya pereka berbakat besar tempatan seperti Rizman Ruzaini, Fizi Woo dan Kit Woo (sekadar menyebut beberapa nama) yang sering muncul dengan koleksi yang agak dramatik.
Rekaan mereka mempunyai estetik yang berbeza, cukup inovatif, forward, unik serta relevan dengan kebangkitan pereka-pereka muda Asia. Sudah sampai masanya industri fesyen Malaysia lebih terbuka, menyokong serta membuka ruang kepada pereka-pereka ini untuk berkarya dan membina legasi yang membanggakan serta melonjakkan nama Malaysia di persada dunia.
Cipta nama
Industri fesyen kini bukan hanya mengenai pakaian sahaja, sebaliknya ia lebih kepada industri yang berkembang pesat dan merupakan cabang perniagaan yang menyentuh hampir semua lapisan masyarakat. Sememangnya penggiat industri fesyen Malaysia kini telah mula mencipta nama di benua Asia dan dunia. Masyarakat kini telah lebih berfikiran terbuka terhadap kepentingan dunia fesyen.
Persaingan
Untuk maju, penggiat industri fesyen perlu bersaing secara sihat, saling membantu dan cuba bergabung serta menganjurkan sesuatu yang boleh menjana minda, kreativiti serta ekonomi. Paling penting perlu sentiasa membuat revolusi diri, menambah ilmu, sealiran dengan masa, demi kepentingan industri fesyen yang menjadi antara penyumbang utama sebahagian ekonomi negara.
Peranan Kerajaan
Kerajaan juga perlu mengadakan lebih banyak dana dan biasiswa-biasiswa untuk sesiapa yang layak dan berminat melanjutkan pelajaran dalam bidang fesyen ke luar negara. Mereka juga disarankan supaya bekerja dahulu di sana sebelum pulang ke tanah air. Ini adalah untuk meramaikan lagi pakar dalam bidang ini yang boleh menerajui industri fesyen di Malaysia suatu masa nanti. Dengan segala pengalaman, kepakaran serta jaringan antarabangsa yang mereka ada, diharap apabila mereka pulang nanti, mereka dapat menyumbang dan dan menerajui industri fesyen Malaysia.
Kerjaya
Perlu diingat, industri fesyen terlalu banyak saingannya. Untuk berjaya dalam bidang ini perlu ada kefahaman menyeluruh terhadap proses-proses yang berkaitan dengan industri tersebut. Pereka perlu tahu selok-belok perniagaan dan pemasaran fesyen. Tanpa pengalaman dan pengetahuan ini, mungkin agak sukar untuk memasarkan produk atau jenama mereka dengan lebih berkesan.
Sosial
Hasil rekaan yang dijayakan pereka adalah merupakan sumbangan mereka kepada masyarakat. Sememangnya fesyen bukan hanya tentang konsumerisme, tetapi sebaliknya ia juga merupakan komentar sosial serta cerminan masa seni itu sendiri dalam era globalisasi yang cukup dinamik.