GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pengurusan semua kuil di negara ini agar tidak menggunakan bekas polistirena semasa menghidangkan makanan pada perayaan Thaipusam nanti.
Pegawai Pendidikan CAP, N.V. Subbarow berkata, kebiasaannya semasa Thaipusam, organisasi amal akan menyediakan makanan percuma sebagai ‘Anna Thanam’ dan kebanyakan mereka menggunakan bekas tersebut ketika menghidangkan makanan percuma.
“Pinggan dan cawan polistirena digunakan secara meluas untuk menghidangkan makanan dan minuman kepada penganut dengan alasan bekas itu mudah untuk menguruskan orang ramai.
“Disebabkan ini, banyak sampah terdiri bekas polistirena dihasilkan setiap tahun dan ramai tidak menyedari bahawa sampah daripada polistirena ini mengambil masa sehingga 500 tahun untuk mereput,” katanya dalam sidang akhbar di Jalan Kebun Bunga, di sini hari ini.
Menurutnya, pembungkusan bahan makanan dengan menggunakan bekas polistirena biasanya mengandungi bahan kimia seperti ‘stirena’ yang boleh menjejaskan kesihatan orang ramai.
“Bahan kimia ini boleh berhijrah ke dalam makanan apabila makanan masih panas dan akhirnya akan diserap oleh badan serta boleh menimbulkan pelbagai masalah kesihatan.
“Sampah polistirena ini apabila dibakar mengeluarkan bahan kimia berbahaya yang sekali lagi menimbulkan ancaman kesihatan kepada pengguna,” katanya.
Tambahnya, memandangkan Thaipusam adalah perayaan keagamaan, adalah penting penganut tidak terdedah kepada bahan kimia berbahaya.
“Mengambil kira perkara ini, pengurusan kuil harus memastikan penganut dihidangkan makanan dan minuman dalam bekas terbiodegradasi yang lebih selamat.
“Para penganut juga boleh memainkan peranan mereka dengan membawa bekas mereka sendiri untuk menerima makanan,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, penganut Hindu yang menghadiri perayaan Thaipusam juga dinasihatkan agar tidak membazir makanan sepanjang perayaan itu berlangsung.
“Sebelum ini, pada 2020 kita dapati kira-kira 70 tan makanan dibuang dan kita tidak mahu perkara yang sama berulang pada tahun ini, kami menyeru penganut agar mengambil makanan sekadar perlu sahaja dan tidak membuang makanan yang telah diambil,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE