PETALING JAYA – Edotco Group telah dilantik sebagai rakan teknologi oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) melalui anak syarikatnya, PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. untuk menyempurnakan menara Merdeka 118 dengan pelbagai solusi teknologi telekomunikasi generasi baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarahnya, Adlan Tajudin berkata, menerusi usaha sama itu, pihaknya akan bertanggungjawab ke atas reka bentuk menara tersebut, membekalkan dan menyelenggara solusi-solusi telekomunikasi build-to-suit dalam bangunan (IBS), menjamin sambungan yang lancar dan stabil bagi menara yang ikonik ini.
“Sebagai persiapan untuk daya keterhubungan hiper masa hadapan, antena, repeater dan IBS generasi baharu yang lain juga akan dipasang di seluruh menara tersebut.
“Ketersediaan infrastruktur telekomunikasi serba inovatif itu juga akan membolehkan operator rangkaian mudah alih menawarkan sambungan internet berkelajuan tinggi dalam kadar segera tanpa perlu menunggu pelaburan besar,” katanya kepada Kosmo! dalam temu bual secara e-mel di sini baru-baru ini.
Adlan menjelaskan, menara tersebut telah siap lebih daripada 50 peratus dan kerja-kerja pemasangan IBS dijangka selesai tidak lama lagi sebelum majlis pembukaan rasmi menara ini .
Majlis tersebut dijadualkan pada bulan Ogos 2023.
Adlan menjelaskan, pelaburan syarikat dalam pembangunan menara tersebut setakat ini menjangkau nilai RM4.2 juta dan boleh mencecah RM5 juta kerana rekaan bangunan ikonik ini juga akan merangkumi pemasangan antena di dalam lif (antara yang pertama seumpamanya di Malaysia).
“Ia akan dapat membolehkan pengguna telefon bimbit menikmati liputan tanpa sebarang gangguan di seluruh bangunan berkenaan.
“Kami teruja untuk menginjakkan ke fasa yang seterusnya dalam menguasakan Merdeka 118 dengan teknologi-teknologi keterhubungan generasi baharu bagi menampung keperluan komunikasi masa akan datang,” jelasnya.
Selain Menara 118, Edotco juga bakal mengusahakan sebuah inisiatif strategik bersama Telecom Infra Project (TIP) untuk memperkasakan komuniti-komuniti di seluruh Asia menerusi daya keterhubungan yang dinaik taraf.
Tambah beliau, Inisiatif ini akan bermula di Malaysia sebagai projek rintis sebelum meluaskan lagi sambungan 5G di rantau ini dalam tempoh tiga tahun yang akan datang.
Menerusi inisiatif ini, syarikat akan menempatkan enam solusi rintis dalam bangunan mercu di negara ini seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KL Sentral dan juga Merdeka 118. -KOSMO!ONLINE