fbpx

Banjir di Johor bertambah pulih, hanya 1,521 mangsa di 17 PPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba melakukan pemantauan keadaan banjir di Sungai Rengit, Pengerang, Kota Tinggi, Johor.

JOHOR BAHRU – Banjir di Johor semakin pulih apabila seramai 619 penduduk daripada 184 keluarga di daerah terjejas pulang ke kediaman masing-masing setakat pukul 2 petang hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memaklumkan, perkembangan positif itu juga menyaksikan sebanyak lima pusat pemindahan sementara (PPS) setakat ini.

Beliau berkata, ketika ini, seramai 1,521 orang daripada 419 keluarga ditempatkan di 17 PPS berbanding 2,140 penduduk membabitkan 603 keluarga direkodkan tengah malam semalam.

“Empat daerah masih dilanda banjir ialah Batu Pahat, Mersing, Kota Tinggi dan Segamat. Batu Pahat masih lagi menjadi daerah paling ramai bilangan mangsa banjir dengan jumlah terkini 879 orang daripada 246 keluarga ditempatkan di tujuh PPS.

“Mangsa banjir di Mersing pula kini mencatatkan penurunan drastik iaitu 329 mangsa membabitkan 87 keluarga di tiga PPS berbanding 823 daripada 241 keluarga di enam PPS.

“Di Kota Tinggi, seramai 223 mangsa membabitkan 59 keluarga ditempatkan di empat PPS berbanding 344 mangsa daripada 87 keluarga di lima PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Segamat turut mencatat sedikit penurunan dengan mencatat 90 mangsa membabitkan 27 keluarga di tiga PPS.

Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan di Mersing, Jalan Tanah Abang dan selekoh pertama Tanah Abang masih ditutup disebabkan air naik setinggi 0.85 meter (m).

“Sementara itu, Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di Kulai masih ditutup untuk semua kenderaan disebabkan tanah runtuh,” katanya.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, Sungai Endau, Mersing kini tidak lagi berada pada paras bahaya dengan mencatatkan bacaan 1.94m (tahap amaran) berbanding 2.38m sebelumnya.

“Turut berada di tahap amaran ialah Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat dengan bacaan 8.84m berbanding 8.87m sebelumnya manakala Sungai Bekok, Batu Pahat berada pada paras amaran iaitu 18.58 berbanding 18.57 sebelumnya,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI