AMPANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini sedang menjalankan operasi pencarian seorang wanita dipercayai sesat ketika mendaki bersendirian di Bukit Tabur, semalam.
Pengarah JBPM Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, bagaimanapun, operasi pencarian mangsa berusia 26 tahun itu terpaksa dihentikan ketika ini atas faktor cuaca dan disambung esok.
Menurutnya, kehilangan wanita tersebut dilaporkan oleh bapanya yang hadir ke balai polis berhampiran pada pukul 11.25 pagi, semalam.
“Misi pencarian telah dimulakan hari ini di kedua-dua kawasan Bukit Tabur iaitu West (barat) dan East (timur) yang turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Persatuan Mencari dan Menyelamat Malaysia (Mosars).
“Maklumat awal diterima mangsa naik ke Bukit Tabur dari Tabur East pada pukul 7 pagi dan sempat menghubungi adiknya mengatakan beliau tersesat sebelum menghantar lokasi terakhir melalui aplikasi WhatsApp sekitar pukul 11 pagi, Ahad lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Beliau berkata, pakaian terakhir dipakai mangsa adalah baju berwarna hitam dengan seluar legging merah dan beg biru.
“Pihak polis menemui kereta mangsa di kaki Bukit Tabur timur berhampiran pintu masuk empangan.
“Namun, mangsa masih belum berjaya dikesan dan tidak dapat dihubungi,” katanya.
Sementara itu, Presiden Mosars Muzafar Mohamad, menyeru kepada semua sukarelawan untuk turun membantu dalam operasi pencarian di Bukit Tabur.
“Pada yang berkelapangan boleh hadir di Pusat Kawalan Operasi Bomba di Bukit Mas Melawati pada pukul 8 pagi. Bawa kelengkapan yang sesuai termasuk ‘headlamp’ (lampu suluh) dan bekalan makanan.
“Pergerakan anda akan diatur oleh pihak bomba dengan kerjasama Pengarah Operasi Pencarian (SAR) lapangan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE