PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa bagi menyemak dan mengkaji semula dasar Pendidikan Tinggi Nasional (National Review Committee).
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jawatankuasa itu mempunyai masa selama tiga bulan untuk mengemukakan dapatan mereka dengan sebahagian besar mestilah bersifat saranan penambahbaikan yang diperlukan.
“Dapatan dan saranan penambahbaikan daripada jawatankuasa ini sangat kritikal atas beberapa sebab, pertama kerana landskap pendidikan nasional hari ini sudah menjadi semakin ‘multifacated’ selain kedudukan serta peranan semua pihak mesti dilihat.
“Kedua, segala yang berlaku di sekeliling kita, sama ada wabak kesihatan atau perubahan iklim atau krisis tenaga mahupun ‘cognitive war’, akan secara tidak langsung mengheret menjadi sebahagian daripada pemainnya,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Perutusan Tahun Baharu 2023 di sini hari ini.
Menurut Mohamed Khalid, sektor pendidikan tinggi tidak lagi terbatas kepada penyediaan graduan berkemahiran demi sebuah pasaran kerja selain penyelidikan dengan deretan jurnal impak tinggi, malah sebaliknya jauh lebih kompleks, rumit dan mencabar.
“Kita memerlukan pelan dan strategi lebih sofistikated, lestari dan kontemporari. Paling penting, kita memerlukan pelan dan strategi yang akan menterjemahkan aspirasi nasional,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, beliau akan memastikan pemilihan kepimpinan di institusi pengajian tinggi (IPT) serta agensi lain menjadi lebih ketat, teliti dan objektif bagi mencari tokoh layak serta berwibawa. – KOSMO! ONLINE