fbpx

Tiada isu dengan Mas Idayu, bukan kecil hati – Sissy Imann

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUAT masa ini, Sissy masih belum berhubung dengan Mas Idayu susulan kontroversi dimarahi juri itu sehingga mencetuskan sensasi rajuk selama seminggu. Foto - MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

SHAH ALAM – Selepas menyepikan diri selama seminggu, Sissy Imann tampil menegaskan tangisan usai menerima komen Mas Idayu bukan disebabkan kecil hati terhadap juri tetap Famili Duo itu, sebaliknya lebih kepada rasa kecewa dengan diri sendiri.

Katanya, tiada isu antaranya dengan Mas Idayu seperti disangka ramai kerana air mata yang gugur lebih kepada perasaan bersalah sehingga mengecewakan sepupu merangkap teman regunya, Naim Daniel.

“Sejujurnya, saya mengalirkan air mata kerana rasa kecewa dengan diri sendiri apabila persembahan lagu Jampi yang berkonsepkan keroncong tidak menjadi seperti dirancang.

“Saya merasakan persembahan tidak seperti diharapkan yang membuatkan saya seperti mengecewakan Naim apatah lagi prestasinya pada malam itu baik-baik sahaja,” katanya kepada Kosmo! Online.

Sissy yang sebelum ini tidak membalas panggilan mahupun mesej daripada media berkata demikian ketika ditemui selepas separuh akhir program Famili Duo di Plaza Alam Sentral, malam tadi.

Ditanya sama ada sudah menghubungi atau membuat permohonan maaf atas insiden yang membuatkan juri tersebut dikecam ramai, Sissy mengakui belum lagi melakukannya berikutan beberapa perkara.

“Sebenarnya dalam tempoh satu minggu ini saya memang tidak menjawab sebarang panggilan telefon dan tidak membaca mesej dalam mana-mana platform.

“Kalau ada pun cuma balas mesej dan panggilan Naim sahaja, tetapi pada awalnya dia pun saya tak pedulikan. Cuma selepas beberapa kali cubaan, saya baru bagi maklum balas.

“Jadi tengok dahulu macam mana (hubungi Mas Idayu),” ulasnya yang maklum bahawa juri itu hanya menjalankan tanggungjawab.

SISSY Imann dan Naim Daniel mara ke pentas final Famili Duo bersama tiga lagi pasangan lain pada Ahad depan.

Mengakui enggan kontroversi yang tercetus susulan insiden air mata itu mengganggu kesihatan mental, Sissy juga mengambil tindakan tidak membaca sebarang komen dalam laman sosial atau mesej peribadi.

“Kalau baca pun cuma sekali lalu sahaja. Selepas saya muat naik perkongsian Instagram dalam tempoh seminggu ini, saya terus menutup aplikasi tersebut,” katanya.

Bagi penyanyi yang sudah hampir sedekad berada dalam industri muzik itu, fokusnya kini adalah terus jalan ke depan tanpa memikirkan lagi perkara yang sudah berlaku.

Pasangan duo tersebut turut membuktikan kesungguhan mereka melalui tempoh sukar minggu lalu berhasil apabila dapat melangkah ke pusingan akhir Famili Duo bersama tiga pasangan lain pada Ahad depan.

Malam tadi, tidak seperti peserta lain, Sissy dan Naim memilih untuk tidak merayu Mas Idayu memberi ulasan terhadap persembahan mereka selepas seorang lagi juri tetap, Ajai mengumumkan penyanyi dangdut itu tidak akan memberi komen bagi mengelakkan salah faham.

Naim ketika ditanya pengacara Janna Nick, adakah mahu Mas Idayu menilai persembahan mereka, dia hanya menyatakan terpulang kepada juri berkenaan.

Terdahulu pada Ahad lalu, Sissy menangis selepas menerima kritikan pedas Mas Idayu untuk persembahan lagu Jampi versi keroncong bersama Naim pada minggu keenam program pertandingan berkenaan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI