PELAKON terkenal Korea Selatan, Song Joong-ki mengejutkan peminat apabila berkongsi berita gembira sudah berkahwin dengan teman wanitanya, Katy Louise Saunders.
Demi menjaga hati peminat, Joong-ki mengumumkan berita tergempar tersebut menerusi sepucuk surat tulisan tangan yang dimuat naik dalam fan cafe rasmi miliknya.
“Kami ingin mempunyai keluarga bahagia bersama dan berusaha untuk menunaikan janji antara satu sama lain.
“Dengan itu kami juga bersyukur bakal menerima satu perkara berharga (anak) dalam hidup kami kelak.
“Jadi, berdasarkan rasa cinta dan kepercayaan yang mendalam, hari ini kami telah mendaftar perkahwinan untuk memulakan kehidupan sebagai pasangan suami isteri,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon drama Reborn Rich itu turut menyifatkan teman wanitanya sebagai insan yang mampu mengubah kehidupannya kepada lebih baik.
“Saya berjanji untuk hidup bersama dengan Katy yang banyak menyokong saya setiap masa.
“Dia seorang wanita yang sangat baik dan bersemangat dalam melakukan apa-apa dalam hidupnya.
“Terima kasih kerana kehadirannya telah mengubah kehidupan saya menjadi lelaki yang lebih baik,” jelasnya.
Terdahulu, Joong-ki mengesahkan hubungannya bersama Katy yang merupakan wanita British pada bulan lalu.
Joong-ki pernah mendirikan rumah tangga dengan aktres popular, Song Hye-kyo pada 2017 selepas sama-sama membintangi drama fenomena, Decendants Of The Sun.
Bagaimanapun, jodoh mereka tidak panjang dan bercerai pada 2019. – KOSMO! ONLINE