PASUKAN Selangor FC dijangka dapat menggunakan ‘rumah baharu’ mereka, Kompleks Sukan Shah Alam seawal musim 2027 selepas mercu tanda baharu negeri Selangor itu siap dibina tiga tahun lagi.
Sebagai rekod, Stadium Shah Alam akan dirobohkan pada tahun ini dan dijenamakan sebagai Kompleks Sukan Shah Alam dengan kos pembinaan bernilai lebih RM787 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon mengakui reka bentuk ikonik Stadium Shah Alam masih lagi dikekalkan seperti yang dimahukan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Kata Johan, stadium baharu nanti dijangka menjadi yang tercanggih di rantau Asia Tenggara dan berdasarkan perbincangan antara kerajaan negeri bersama pemaju, MRCB, ia boleh disiapkan pada 2026.
“Tengku Amir Shah sendiri mahu mengekalkan reka bentuk yang lama kerana ia mempunyai sejarah tersendiri dan begitu ikonik. Jika terdapat perubahan, mungkin tidak jauh beza dengan sebelum ini.
“Kerajaan Selangor dan MRCB menjangkakan ia siap pada 2026, dan mungkin boleh digunakan pada 2027. Kita tahu MRCB antara pemaju terbaik di negara ini jadi kita yakin dengan reputasi mereka,” katanya.
Mengulas mengenai jenis rumput yang bakal digunakan, Johan mengakui terdapat dua jenis dicadangkan oleh pemaju iaitu Paspalum dan Zeon Zoysia.
“Buat masa ini, masih awal lagi untuk tentukan rumput yang akan digunakan di stadium itu tetapi dua jenis rumput yang mungkin dipertimbangkan adalah Paspalum dan Zeon Zoysia,” katanya.
Stadium Shah Alam bakal dilengkapi teknologi tinggi apabila permukaan padangnya boleh diubah selain venue berkenaan turut menggunakan sistem penyejukan tempat duduk seperti venue Piala Dunia 2022 di Qatar.