LONDON – Seorang remaja lelaki di Britain berjaya membuka kedai sendiri seawal usia 16 tahun selepas memutuskan untuk tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, lapor akhbar The Sun semalam.
Joshua Mancell-Chesters mengusahakan sendiri kedainya yang terletak di Chesire pada setiap hari.
Walaupun sudah bekerja, Joshua tidak melepaskan peluang untuk menikmati zaman mudanya selepas membuka kedai dinamakan MCS Nutrition.
Setelah menamatkan pengajian di Sekolah Tinggi Mendeley, dia kemudian mendaftar untuk mendapatkan Sijil Umum Pendidikan Menengah (GCSE) kerana keluarganya akan berpindah ke Sepanyol.
Namun, selepas rancangan itu berubah dan keluarganya kekal di Britain, dia meneruskan sesi pembelajaran secara dalam talian untuk bekerja bersama bapanya.
Selepas tamat GCSE, Joshua yang menghidap disleksia tidak bersemangat untuk melanjutkan pelajaran. Dia sebaliknya mempunyai idea untuk membuka kedai sendiri.
“Saya cuba menjual sebanyak mungkin barang di kedai termasuk bar protein, makanan ringan, vitamin, mineral dan serbuk protein.
“Saya tidak mahu orang fikir kedai ini hanya untuk peminat gimnasium, tetapi untuk semua orang,” katanya.
Di sebalik kejayaan itu, Joshua kini berharap untuk mengeluarkan produk sendiri dan menambah cawangan kedainya pada masa akan datang. – Agensi