JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan anggota polis berbisik ketika mengejutkan seorang pencuri motosikal yang sedang nyenyak tidur di rumahnya, lapor laman berita Suara.com.
Video itu dimuat naik dalam akaun Instagram @fakta.indo. Serbuan itu dibuat oleh Pasukan Polis Manado.
Ketika kejadian, beberapa anggota polis menyerbu rumah lelaki tersebut, tetapi mendapati suspek sedang tidur di dalam bilik.
Polis kemudian mengejut lelaki itu dan memintanya memakai baju.
“Heh, pakai baju,” bisik salah seorang polis kepada suspek.
Polis itu kemudian memegang tangan suspek dan bertanya di mana telefonnya. Suspek kelihatan masih mamai sebelum menyerahkan telefon bimbitnya.
Video itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen.
“Roh belum sampai, badannya sudah sampai di balai polis,” komen seorang netizen. – Agensi