fbpx

Permohonan pas sempadan di Kulim, UTC Alor Setar ditutup sementara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JIM cawangan Kulim

ALOR SETAR – Perkhidmatan menyediakan pas sempadan di Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Cawangan Kulim serta Pusat Transformasi Bandar (UTC) Alor Setar dan Sungai Petani ditutup sementara berikutan kerja-kerja penyelenggaraan.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd. Ridzzuan Mohd. Zain berkata, pihaknya sedang melakukan transformasi berkaitan beberapa perkara termasuk sistem penyampaian bagi memastikan khidmat lebih baik dapat diberikan kepada masyarakat.

Justeru katanya, orang ramai yang berhasrat untuk membuat pas sempadan boleh berbuat demikian di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Putra, Durian Burung di Padang Terap dan ICQS Bukit Kayu Hitam.

“Hanya khidmat penyediaan pas sempadan sahaja yang dihentikan secara sementara di ketiga-tiga lokasi tersebut. Lain-lain perkhidmatan termasuk berkaitan urusan passport berjalan seperti biasa,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Anak Bukit dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd. Ridzzuan berkata, pihaknya turut mengambil maklum mengenai aduan orang ramai terutama di media sosial berkaitan kesesakan di Pejabat JIM Kulim.

“Sehubungan itu, kami akan tempatkan lebih ramai kakitangan di situ bagi mengurangkan kesesakan dan pejabat akan beroperasi pada hujung minggu iaitu Jumaat dan Sabtu bermula pukul 8 pagi hingga 12.30 tengah hari,” ujarnya.

Katanya, bagi hari-hari biasa pula, waktu kerja dipanjangkan dari pukul 8 pagi hingga 5 petang sebelum ini kepada 8 pagi hingga 7 malam.

Mengulas lanjut katanya, inisiatif lain yang diambil bagi mengurangkan kesesakan adalah mana-mana individu yang sekadar mahu mengutip pasport setelah permohonan diluluskan, tidak perlu lagi beratur dan mengambil nombor giliran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI