PETALING JAYA – Cubaan seorang lelaki membuat laporan polis palsu gara-gara kad pengenalannya hilang bukan sahaja tidak menjadi, malah terkantoi selepas polis menemui video lucah di dalam telefon bimbitnya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pada mulanya, suspek yang berusia 29 tahun mendakwa dia diragut ketika berada di Jalan Pandan Indah di sini pada pukul 4 petang semalam.
Menurutnya, ketika proses rakaman percakapan di Bilik Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya, suspek yang bekerja sebagai pengurus bank tiba-tiba meninggikan suara.
“Suspek kemudian bangun sambil menghentak kerusi dan membalingnya ke arah pintu pejabat pegawai sambil menjerit dia mahu pulang.
“Pemeriksaan mendapati telefon bimbitnya mengandungi beberapa video lucah.
“Justeru telefon bimbit suspek dirampas dan lelaki itu direman selama tiga hari sehingga 1 Februari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Walau bagaimanapun, Mohamad Farouk memberitahu, siasatan mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah dan bebas pemgambilan bahan terlarang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967, Seksyen 292 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 182 Kanun Keseksaan.- KOSMO! ONLINE