fbpx

Mahkamah: Warga emas didakwa ubah wang haram lebih RM700,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh Ahmad Yusri (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas sembilan pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram lebih RM700,000 tiga tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Ahmad Yusri Mohd. Yunus, 67, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut empat pertuduhan, Ahmad Yusri didakwa menerima wang berjumlah RM705,625 iaitu hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun semasa miliknya daripada sebuah syarikat.

Bagi tiga pertuduhan lain tertuduh didakwa memindahkan wang RM77,000 yang juga hasil aktiviti haram secara dalam talian sebagai bayaran kepada tiga syarikat berlainan.

Sementara untuk dua lagi pertuduhan tertuduh didakwa melupuskan RM490,285 yang juga hasil wang haram.

Kesemua kesalahan itu dilakukan antara 6 hingga ke 13 November 2020 di sebuah bank di Taman Maluri, Cheras, di sini yang mana kesemua pertuduhan itu, didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni menawarkan wang jaminan RM100,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam Muhammad Rafique Rashid Ali memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin itu dengan alasan anak guamnya sudah muflis, tidak bekerja selain menghidap kencing manis dan baru menjalani pembedahan lutut.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh 7 Mac depan ditetapkan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI