fbpx

Mahkamah: Wang RM21.7 juta dipulangkan semula kepada 11 entiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Rayuan Putrajaya

PUTRAJAYA – Sebanyak RM21.7 juta yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan disita daripada 11 entiti termasuk parti-parti politik akan dipulangkan semula kepada pihak yang terlibat.

Ia selepas pihak pendakwaan menarik balik rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan mereka untuk menyita dan melucut aset tersebut di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Semasa prosiding ,Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar turut memaklumkan kepada panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said bahawa notis penarikan balik tersebut telah difailkan pada Jumaat lalu.

Entiti-entiti yang akan memperolehi kembali wang yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berjumlah RM21,771,626.87 ialah Jakel Trading Sdn. Bhd. (RM10,747,042.77), Mediaedge CIA Sdn. Bhd. (RM4,631,602), AGA Touch Sdn. Bhd. (RM3 juta) dan Yayasan Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (PBAKM) (RM100,000).

Selain itu, turut menerima kembali wang yang disita ialah Barisan Nasional Johor (RM957,395.65), Umno Pekan (RM700,000), Umno Johor (RM677,872.55), Jakel Trading (RM628,314), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (RM188,132.26), bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam(RM100,000) dan pengarah firma penyelidikan Centre for Strategic Engagement Sdn Bhd, Sim Sai Hoon (RM41,261.64).

Sementara itu, tiga lagi permohonan rayuan oleh Parti Bersatu Rakyat Sabah, Badan Perhubungan MCA Pahang serta keluarga bekas Ahli Parlimen Paya Besar dan Ketua Umno Bahagian Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail masih lagi berterusan.

Bagaimanapun, mahkamah dimaklumkan bahawa peguam bagi ketiga-tiga entiti terbabit boleh menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan SPRM untuk melucut hak wang milik tiga entiti iaitu PBRS (RM1,000,000), Badan Perhubungan MCA Pahang (RM835,258.19) dan keluarga Allahyarham Abdul Manan (RM265,146.16) yang kesemuanya berjumlah RM2.1 juta.

Pengurusan kes bagi ketiga-tiga entiti itu ditetapkan pada 28 Mac ini.

Selain Kamaludin, dua lagi panel hakim yang turut bersidang ialah Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian.

Pada Jun 2019, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya memberitahu pihak berkuasa itu telah memfailkan permohonan lucut harta terhadap 41 responden yang dikatakan menerima wang daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan hasil penyelewengan dana syarikat 1MDB.

Permohonan sitaan itu dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI