fbpx

Mahkamah: Nelayan antara tiga didenda RM7,300, judi piala dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga lelaki termasuk seorang nelayan didenda RM7,300 oleh Mahkamah Majistret Melaka selepas mengaku bersalah membuat pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2022, Disember lalu.

MELAKA – Tiga lelaki termasuk seorang nelayan didenda RM7,300 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah membuat pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2022, Disember lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Richard Danker, 54, Linus Hilary Pinto, 60, dan Lim Soon Boon, 34, yang membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Richard dan Linus, didapati telah membuat pertaruhan bola sepak Piala Dunia FIFA Qatar 2022 secara dalam talian dengan menggunakan telefon bimbit membabitkan nilai RM150,250 di Medan Portugis, Kampung Portugis pada pukul 4 dan 4.10 pagi, 14 Disember 2022.

Soon Boon pula didapati bersalah melakukan kesalahan sama berjumlah RM75,000 di tepi Jalan Daranjo, Kampung Portugis, Melaka kira-kira pukul 6.40 petang, 10 Disember 2022.

Terdahulu, kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman berbentuk denda yang rendah diberikan dengan Richard memberikan alasan hanya bekerja sebagai nelayan, manakala Linus penganggur dan Soon Boo pekerja restoran.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Sharda kemudian menetapkan denda sebanyak RM2,500 terhadap Richard, manakala Linus dan Soon Boon masing-masing didenda RM2,400. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI