SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, saya bersama sekumpulan warga emas mengambil kesempatan berkunjung ke Pulau Pinang.
Bagaimanapun, kunjungan sedikit tercalar selepas beberapa insiden ketika menjamu selera di Medan Selera Padang Kota Lama.
Meja makan penuh dengan sisa-sisa makanan dan tumpahan kuah.
Pihak pengurusan Medan Selera perlu mengambil tanggungjawab dengan mengambil pekerja bagi membersih ruang makan dan bagi tujuan itu mereka boleh mengutip sejumlah wang daripada para pemilik gerai.
Saya yakin para peniaga tidak keberatan untuk membayarnya.
Selain itu, kami juga menghadapi masalah apabila sesetengah jurujual warga asing tidak faham percakapan Bahasa Melayu selain kemudahan bilik air yang tidak mencukupi di medan selera berkenaan.
Hanya ada lima tandas yang boleh digunakan dan jumlah itu tidak mampu menampung ribuan pengunjung yang datang ke Medan Selera berkenaan.
Kalau terlalu lama menunggu untuk membuang air, tentu akan menimbulkan banyak masalah terutama kepada kanak-kanak dan warga emas.
Ramli Ismail
Kangar, Perlis